Dugaan Buat FBI

Sinar Harian, 5 Mei 2008

MASIH terbayang bagaimana kegembiraan menyelimuti ruang wad bersalin Hospital Besar Sungai Buloh petang 18 April lalu. Manakan tidak, kelahiran Adam Haikal Iman malam Jumaat sebelumnya mengakhiri penantian selama enam tahun penyampai radio Hot.fm, Faizal Ismail (FBI) dan isterinya, Norazlina A. Din yang hampir berputus asa untuk menambah cahaya mata.

Orang paling gembira sudah tentulah si kakak, Nurkhairina Iman yang sudah beberapa tahun menyatakan keinginannya untuk mendapat teman bermain. Kata bapa mentua Faizal yang turut berada di wad, Khairina mengejutkannya awal-awal pagi lagi untuk dibawa ke hospital pagi itu. Dia ponteng sekolah semata-mata mahu menjenguk adik kesayangan yang diberi nama olehnya itu.

Namun walau melimpah kasih sayang yang mengalir untuk Adam, sebagai manusia siapalah yang dapat menghalang hak Pencipta. Biarpun sebak mendengar khabar pemergian Adam yang dikirim oleh Faizal menerusi SMS awal pagi semalam, sudah tentu kesedihan ini hanya sekelumit berbanding perasaan Faizal yang digugah ujian. Begitu juga dengan ratusan nota mahu pun panggilan takziah daripada pendengar Hot.fm awal pagi semalam menerusi radio mahupun saluran 8TV, kesemua itu sudah tentu tidak dapat menahan perasaan walang yang memenuhi segenap perasaan Norazlina.

“Khairina lebih rapat dan apa-apa hal pun selalu ‘geng’ dengan ibunya. Diharap anak yang kedua ini akan jadi ‘geng’ saya pula selepas ini,” demikian antara luahan Faizal ketika ditemu bual di bilik menunggu selepas selesai bergambar bersama anggota baru keluarganya. Tidak sekadar mengungkapkan kegembiraan, pada hari berkenaan Faizal turut berkongsi impiannya untuk menonton bola dan gusti bersama anak lelakinya kelak.

Kini, segalanya tinggal kenangan. Menurut SMS yang dikirim Faizal, Adam meninggal dunia jam 5.30 pagi semalam kerana komplikasi jantung di Hospital Tawakal. Walau apa pun punca dan musababnya, yang pasti ini adalah ujian buatnya dan keluarga.

Sebagaimana kata Faizal ketika mengimbau kembali kepayahan yang diperolehnya sebelum memperoleh Adam, ada ketikanya dia reda sekiranya ditakdirkan hanya Khairina seorang yang menjadi penyeri hidupnya dan isteri memandangkan ada pasangan lain yang tidak dikurniakan zuriat langsung biar pun puas berusaha. Apa pun, Allah tidak akan menimpakan ujian jika tidak mampu digalas bahu hambaNya. Seperti mana kesemua peminat Faizal dan Hot.fm lain, Sinar Harian turut memanjatkan doa semoga Faizal dan keluarga tabah menerima ujian ini.

~ Al-fatihah untuk arwah Adam Haikal Iman

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: